GAMBAR hiasan
BERNAMA

JABATAN Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan kes jangkitan Influenza A dikesan di Cyberjaya dan Klang, semalam.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, kes positif Influenza A itu dikesan di Sekolah Kebangsaan Cyberjaya melibatkan 20 pelajar dan seorang guru yang mengalami demam, batuk dan selesema.

Beliau berkata, di Klang ia melibatkan dua beradik dalam satu keluarga.

“Sehingga kini, pelajar dan guru itu mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang. Namun seorang pelajar lelaki dimasukkan ke wad di sebuah hospital swasta namun dilaporkan stabil.

“Di Klang, seorang peaskit masih dirawat di hospital namun stabil dan seorang lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar dan telah dibenarkan pulang ke rumah. Siasatan lanjut mendapati jangkitan di kedua-dua kawasan tersebut tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan di Shah Alam, malam tadi.

Dr Sha’ari berkata, kes jangkitan penyakit itu adalah terkawal dan tiada penutupan sekolah dilakukan di Selangor akibat Influenza A.

Beliau menjelaskan jangkitan virus influenza bermusim hanya mengakibatkan demam selesema yang ringan pada individu biasa namun boleh menyebabkan jangkitan teruk kepada kumpulan berisiko tinggi antaranya kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka berpenyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan lelah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 12:43 AM