MEMBAKUT 09 JANUARY 2020. Chief Minister and Parti Warisan Sabah president Datuk Seri Mohd Shafie Apdal giving a ceramah to Kadazandusun Murut constituents in the ongoing Kimanis by-election at Kampung Sinuka, Membakut. NSTP/EDMUND SAMUNTING.
MEMBAKUT 09 JANUARY 2020. Chief Minister and Parti Warisan Sabah president Datuk Seri Mohd Shafie Apdal giving a ceramah to Kadazandusun Murut constituents in the ongoing Kimanis by-election at Kampung Sinuka, Membakut. NSTP/EDMUND SAMUNTING.
Mohd Izham Unnip Abdullah

KETUA Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin rakyat Kimanis tidak tertipu dengan janji UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk melaksanakan sepenuhnya tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) jika kembali memerintah.

Beliau menegaskan, lebih separuh abad BN memerintah tetapi tetap gagal melaksanakan tuntutan rakyat Sabah dan Sarawak itu.

Menurutnya, sukar untuk mempercayai yang mereka akan melaksanakannya selepas ini.

Sebaliknya, beliau menjelaskan kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Pusat jelas membuktikan kesungguhan mereka menunaikan tuntutan dalam MA63 itu sejak mengambil alih kerajaan daripada BN dua tahun lalu.

“Jangan cakap, 50 tahun sudah. Alhamdulillah, apabila Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan PH memerintah, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mempengerusikan jawatankuasa MA63. Dulu (ketika BN), bukan Perdana Menteri.

“Maknanya, kita berterima kasih kepada Dr Mahathir, sekurang-kurangnya dia prihatin dan bertanggungjawab untuk mendengar rintihan serta suara rakyat Malaysia di Sabah ini sehingga meluluskan persetujuan beberapa perkara berkaitan MA63.

“Contohnya hal berkaitan pindaan perlembagaan, penyerahan semula Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada negeri dan begitu juga pengurusan Pulau Sipadan dan Ligitan dikembalikan kepada Sabah,” katanya kepada media selepas berkempen di Kampung Tengah di Kota Kinabalu malam tadi.

Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini yang mengatakan BN akan melaksanakan 100 peratus tuntutan MA63 seperti diminta kerajaan negeri jika parti itu kembali memerintah.

Mohd Shafie yang juga Presiden WARISAN menjelaskan mulai tahun ini juga, Sabah akan menerima pemberian khas dari Kerajaan Pusat berjumlah RM53.4 juta berbanding RM26.7 juta setahun tanpa sebarang kenaikan sejak 1970-an.

“Ini menggambarkan kerajaan sekarang lebih baik dari segi menunaikan tuntutan hak Sabah. Secara keseluruhan sebanyak 17 perkara daripada 21 perkara yang dituntut melalui jawatankuasa MA63 sudah diluluskan,” katanya.

Beliau menambah, pindaan terhadap Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan kedudukan sama rata di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung yang gagal sebelum ini akan dibentangkan semula di Parlimen pada Mac ini.

“Kita akan tengok nanti sama ada UMNO dan BN akan sokong, kalau betul mereka mahu melaksanakan tuntutan kita terhadap MA63. Rakyat Sabah bukannya bodoh,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie yakin sokongan terhadap WARISAN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis terus meningkat berdasarkan bilangan penyokong parti lawan yang semakin ramai menyertai parti itu.

Bagaimanapun, tegasnya keadaan itu tidak harus melekakan jentera parti, sebaliknya ia perlu dijadikan pendorong untuk terus bekerja menguatkan sokongan terhadap calon WARISAN, Datuk Karim Bujang agar kemenangan berpihak kepadanya pada 18 Januari ini.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 4:43 PM
    Digital NSTP Subscribe