BERNAMA

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memuji potensi industri perfileman dan animasi tempatan yang mampu pergi jauh dan melahirkan karya berkualiti setanding dengan negara luar.

“Saya berasa bangga potensi perfileman terutamanya di bawah bakat anak-anak bangsa negara kita sudah digilap dan dibawa ke tahap sebegini hebat,” katanya kepada pemberita di Petaling Jaya, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menonton filem animasi ‘Ejen Ali the Movie’ bersama 50 orang kurang upaya (OKU) yang juga penghuni Taman Sinar Harapan (TSH) Cheras.

Turut hadir Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) Datuk Dr Syed Hussian Aljunid: Pengarah Urusan Kumpulan MPB Datuk Kamal Khalid serta Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studio, Datuk Ahmad Izham Omar.

Tayangan khas filem yang berlangsung di mmCineplexes, e-Curve Damansara itu adalah inisiatif dan cadangan Dr Wan Azizah sendiri.

Ia supaya beliau dapat meluangkan masa dengan penghuni TSH yang juga institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberi penjagaan, perlindungan dan pemulihan kepada kanak-kanak dan remaja OKU.

DR Wan Azizah dan Anwar (tengah) bergambar bersama kanak-kanak dari Taman Sinar Harapan, Cheras. Turut kelihatan Syed Hussian, Kamal dan Ahmad Izham. FOTO Shahril Badri Saali.
DR Wan Azizah dan Anwar (tengah) bergambar bersama kanak-kanak dari Taman Sinar Harapan, Cheras. Turut kelihatan Syed Hussian, Kamal dan Ahmad Izham. FOTO Shahril Badri Saali.

Dr Wan Azizah berkata, filem animasi Ejen Ali misalnya, mempunyai kualiti yang amat bagus dan sarat dengan latar cerita menarik.

“Dalam filem itu, isu sosial dan mesej penting diketengahkan termasuk pelajaran kehidupan dan jangan putus asa walau susah,” katanya.

Ejen Ali the Movie, filem terbitan Primeworks Studios dan WAU Animation itu meraih kutipan sebanyak RM30 juta di Malaysia, Singapura dan Brunei dalam tempoh enam minggu tayangannya.

Ia mengisahkan Ali, 12, direkrut menjadi penyiasat di agensi perisikan dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 2:58 PM