GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


MAYAT lelaki disyaki dibunuh ditemui di kawasan pembinaan di Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) di Kajang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan menemui lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi pada 8.30 pagi.

“Pihak ambulans yang dipanggil ke lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Siasatan mendapati mangsa dipercayai warga Bangladesh dan terdapat kesan cedera disyaki akibat kesan tetakan pada mayat lelaki berkenaan,” katanya dalam kenyataan di Kajang, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, punca kejadian masih dalam siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan S Vekram di talian 019 4737108 atau hubungi balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 10:23 PM