GAMBAR Hiasan
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


JABATAN Kesihatan Negeri Sembilan mengeluarkan sebanyak 358 notis larangan merokok terhadap pemilik, pengusaha tempat makan dan perokok di negeri ini, membabitkan kompaun bernilai RM85,700.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata notis itu dikeluarkan mengikut Seksyen 32B Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil.

Katanya, setakat ini pihaknya sudah memeriksa sebanyak 7,663 lokasi di seluruh negeri bermula 1 Januari sehingga 10 Januari 2020.

"Sebanyak 216 notis dikeluarkan kepada perokok kerana merokok di tempat makan selain 85 notis dikeluarkan terhadap pemilik dan pengusaha tempat makan kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok.

"Selain itu sebanyak 38 notis dikeluarkan kepada pemilik dan pengusaha tempat makan kerana kesalahan gagal memastikan tiada seorang pun merokok di premis mereka. Manakala 19 notis dikeluarkan kepada perokok bawah umur," katanya.

Veerapan berkata, hasil operasi dilakukan mendapati kategori restoran menunjukkan lokasi paling tinggi menerima notis iaitu sebanyak 256 notis, gerai makan (77), medan selera (15), tempat makan terbuka (tujuh), dan kedai makan atas tanah lot (dua).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 2:41 PM