CALON BN, Datuk Mohamad Alamin (kiri) bersama calon Parti Warisan, Datuk Karim Bujang. FOTO arkib NSTP
CALON BN, Datuk Mohamad Alamin (kiri) bersama calon Parti Warisan, Datuk Karim Bujang. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

PENGUNDI bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang tidak menerima kad pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian mereka lebih awal sebelum hari mengundi pada 18 Januari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan hari ini, menjelaskan pengundi berkenaan boleh membuat semakan melalui beberapa saluran yang disediakan.

Mereka boleh melayari portal semakan pemilih di https://pengundi.spr.gov.my atau menghubungi talian 03-88927018 atau membuat semakan melalui aplikasi MySPR Semak atau menghantar SMS ke 15888 (taip SPRSEMAKNO.KAD PENGENALAN).

Azhar berkata, bagi pengundi yang menerima kad pengundi atau mengetahui maklumat pengundian, mereka tidak perlu membuat semakan di barung semakan SPR sebaliknya boleh terus ke saluran mengundi.

Bagi pengundi yang baru membuat semakan pula, mereka disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat berikut iaitu maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih, menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Azhar mengingatkan pengundi supaya membawa kad pengenalan dan kad pengundi atau catatan maklumat pengundian dan menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

“Kad pengundi atau catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi,” katanya.

SPR menetapkan hari mengundi PRK Kimanis pada 18 Januari, manakala pengundian awal 14 Januari.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 6:13 PM
    Kabinet Malaysia 2020