MOMOTA beraksi ketika menewaskan pemain Denmark, Viktor Axelsen pada perlawanan akhir badminton Perodua Malaysia Masters 2020 di Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO arkib NSTP
MOMOTA beraksi ketika menewaskan pemain Denmark, Viktor Axelsen pada perlawanan akhir badminton Perodua Malaysia Masters 2020 di Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Nurul Hidayah Bahaudin


PEMAIN perseorangan lelaki badminton nombor satu dunia, Kento Momota, 26, patah tulang hidung dan menerima jahitan di bibir selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Serdang, awal pagi ini.

Jurulatih fisio, Yu Hirayama, 35, dan pembantu jurulatih pasukan, Akifumi Marimoto, 42, masing-masing luka di muka dan kaki serta patah tangan.

Foster William Thomas, 30, dari Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pula luka di kepala, kaki kanan dan peha manakala pemandu van pelancong, N Bavan disahkan maut di lokasi kejadian akibat tersepit.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, van berkenaan dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurutnya, mangsa yang cedera dihantar pasukan perubatan ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut manakala pemandu yang maut dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat.

“Semua mangsa yang cedera dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan lanjut di Hospital Putrajaya. Siasatan lanjut juga masih dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Momoto merangkul gelaran juara Masters Malaysia, semalam selepas menundukkan pemain Denmark, Viktor Axelsen dalam aksi yang berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil.

Gelaran pertama diraih Momota di Malaysia selepas pencapaian terbaiknya sebelum ini adalah muncul naib juara Terbuka Malaysia 2018.

Berita berkaitan

Momota stabil

Kento Momota cedera dalam kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 11:53 AM