AINUL Mardhiah kini semakin bergerak aktif malah dua giginya dah tumbuh di bahagian bawah. FOTO IHSAN KELUARGA
AINUL Mardhiah kini semakin bergerak aktif malah dua giginya dah tumbuh di bahagian bawah. FOTO IHSAN KELUARGA
Oleh Fairuz Zaidan


“DALAM seminggu ini, gusi atas Ainul mulai bengkak sebab mungkin giginya nak tumbuh lagi. Sebelum ini, dua giginya tumbuh di bahagian bawah,” kata Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, bapa bayi kesayangan rakyat Malaysia, Ainul Mardhiah yang sebelum ini menderita barah ‘Germ Cell Tumor’ di mulut.

Ahmad Safiuddin, 25, berkata, perubahan itu dikesan kerana air liur di mulut anak perempuan kesayangannya itu kerap mengalir sehingga ada waktunya menyebabkan Ainul Mardiah berasa tidak selesa.

Menurutnya, Ainul Mardhiah yang kini seberat enam kilogram pada usianya 16 bulan tetap aktif dan lasak, serta memberi reaksi positif setiap kali namanya dipanggil.

“Setiap bulan, kami akan membawanya menjalani pemeriksaan kesihatan berkala di Hospital Melaka untuk memantau perkembangan hasil pembedahan yang dijalankan di United Kingdom (UK), tahun lalu.

“Pemeriksaan ini termasuklah menjalani Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI). Setakat ini, alhamdulillah selepas enam bulan pembedahan berlangsung, perkembangannya cukup baik.

“Kami bersyukur kerana doktor pakar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) datang ke Hospital Melaka setiap bulan, sekali gus memberi kesempatan untuk turut memantau perkembangan Ainul yang masih tetap memakai oksigen,” katanya dihubungi BH, hari ini.

Ditanya bagaimana sambutan dan perhatian diterima Ainul Mardhiah terutama ketika berada di hospital, Ahmad Safiuddin berkata, sebagai ‘bayi kesayangan rakyat Malaysia’, Ainul Mardhiah memang mengundang perhatian umum yang ingin melihat perkembangan selain merakam gambarnya.

Katanya, dalam keadaan sekarang, perkembangan kesihatan Ainul Mardhiah cukup baik dan perlu dipantau secara menyeluruh dalam tempoh enam bulan lagi.

“Setiap Khamis juga, kami menjemput juru fisioterapi untuk datang ke rumah bagi membolehkan Ainul menjalani rawatan secara intensif untuk proses pembesarannya.

“Alhamdulillah, Ainul memang aktif malah akan menggapai apa sahaja termasuk wayar di badannya,” katanya.

Ainul Mardhiah sebelum ini menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selama lima jam di hospital kanak-kanak di London, United Kingdom pada 10 Jun tahun lalu.

Pembedahan membabitkan perbelanjaan mencecah RM1 juta itu berjaya direalisasi sekumpulan pakar bedah dan anestetik, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway, selain bantuan pelatih pakar bedah, Dr Nur Amalina Che Bakri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 5:23 PM