NISIH Talib meninggal dunia dua jam selepas dirawat. FOTO Ihsan polis.
Nurul Hidayah Bahaudin


WANITA meninggal dunia dipercayai dilanggar lari ketika berjalan ke tempat kerjanya di Jalan USJ 1/1, Subang Jaya.

Dalam kejadian 6.45 pagi semalam, Nisih Talib, 48, ditemui tidak sedarkan diri oleh orang awam dan rakannya yang kemudian membawanya ke hospital swasta berhampiran.

Nisih disahkan meninggal dunia ketika rawatan kira-kira 8 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami pendarahan di kepala.

“Dia dipercayai dilanggar lari ketika berjalan ke tempat kerja di USJ 1/1.

“Setakat ini, tiada butiran mengenai pemandu dan kenderaan yang melanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata, usaha giat dilakukan mengesan pemandu berkenaan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Hamdan Jeramatin di talian 0194642222.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 9:17 PM