GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

ANGGOTA polis trafik boleh mengeluarkan saman terhadap individu yang melakukan kesalahan di dalam kawasan sekolah kerana itu adalah atas permintaan daripada pihak sekolah, kata Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad.

Beliau berkata, polis trafik boleh menjalankan tugas mereka di mana-mana sahaja kerana itu adalah tugas dan dalam bidang kuasa polis selepas mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan sekolah.

“Sebenarnya kami telah dijemput datang ke sekolah dan buat terlebih dahulu program advokasi kepada para pelajar sekolah. Selepas itu, barulah kami akan datang ke sekolah untuk buat operasi melalui Op Didik. Tidak sewenangnya terus buat operasi dan saman,” katanya kepada Bernama selepas melancarkan Liga Bola Sepak PDRM Kontinjen Perlis di Kompleks Sukan Syed Areeb Putra, Universiti Malaysia Perlis, Pauh Putra, dekat Arau, hari ini.

Surina berkata demikian ketika diminta mengulas isu yang tular di laman sosial mengenai anggota polis trafik menjalankan operasi menyaman pelajar di dalam kawasan sekolah, yang menimbulkan rasa tidak puas hati beberapa ibu bapa yang beranggapan bahawa ia menyalahi undang-undang.

Katanya sebanyak lima sekolah terpilih bagi program itu di Perlis dan hanya selepas program advokasi dijalankan barulah tindakan dan operasi dijalankan di sekolah yang terlibat, katanya tanpa mendedahkan butiran sekolah berkenaan.

“Lebih 60 saman dikeluarkan dan kebanyakannya adalah kesalahan tidak mempunyai lesen memandu, termasuk saman terhadap pemilik kenderaan. Saman yang kita keluarkan adalah lebih kepada mendidik ibu bapa tentang pentingnya anak-anak mereka mempunyai lesen memandu terlebih dahulu,” katanya dan menurutnya, “keselamatan anak-anak perlu diutamakan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 11:35 PM