GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 18,958 pelanggan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terjejas ekoran gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan sekitar Segamat, berikutan Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Siput terpelantik, 5.35 petang semalam.

Menerusi kenyataan malam tadi, TNB memaklumkan kehilangan anggaran beban sebanyak 24.5 megawatt (MW) akibat kejadian itu.

“Pasukan teknikal TNB segera digerakkan bagi membaik pulih bekalan. Bekalan dipulihkan secara berperingkat bermula 8.15 malam tadi termasuk secara menyuap balik bekalan menggunakan 85 set janakuasa bergerak.

“Sehingga 10:30 malam, TNB dapat memulihkan hampir 30 peratus bekalan di kawasan yang terbabit,” katanya.

Kenyataan itu juga memaklumkan usaha sedang giat dijalankan bagi memulihkan bekalan sepenuhnya.

“Maklumat terkini pemulihan bekalan sentiasa dikemaskini di Facebook TNB Careline. Sebagai alternatif, pengguna terbabit juga boleh menghubungi TNB di talian 15454 untuk maklumat lanjut.

“TNB memohon maaf atas gangguan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 12:25 AM