Laporan portal Harian Metro sebelum ini
Mohamed Farid Noh

KANAK-KANAK perempuan berusia dua tahun yang meninggal dunia dipercayai didera ibu kandung dan teman lelakinya kelmarin dipercayai dipukul sehingga koma.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, polis menumpukan siasatan terhadap penderaan yang dilakukan sehingga mangsa tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke hospital pada Ahad lalu.

"Siasatan awal mendapati kecederaan yang dialami mangsa selama lebih 24 jam dipercayai menjadi penyebab utama kematiannya termasuk ususnya pecah.

"Siasatan juga mendapati tiada senjata digunakan sebaliknya hanya tenaga fizikal suspek sahaja.

"Faktor sama ada kanak-kanak itu dipijak, ditendang atau deraan fizikal lain sehingga dia koma dan meninggal dunia turut sedang disiasat dengan teliti, " katanya ketika ditemui hari ini.

Semalam dilaporkan kanak-kanak malang itu meninggal dunia pada 12.10 tengah hari kelmarin ketika sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat masalah jangkitan kuman.

Kanak-kanak itu dibawa ke HSI pada 10.40 pagi Ahad lalu oleh ibunya yang berusia 22 tahun, berikutan masalah jangkitan kuman yang serius.

Namun bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa mendapati beberapa siri kecederaan pada badannya.

Hasil proses bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan pada bahagian tengkorak dan usus si mati akibat hentakan objek tumpul.

Susulan laporan bedah siasat itu, polis percaya kematian mangsa berunsurkan jenayah dan menahan ibu kandung mangsa dan teman lelakinya yang berusia 33 tahun pada 3.54 pagi semalam.

Pasangan itu kini direman selama hari bermula semalam dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Berita berkaitan:

  • Budak dua tahun mati didera ibu
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 3:52 PM