TINJAUAN wabak Influenza A di sekolah kebangsaan cina di Klang. FOTO Sairien Nafis
Amirul Aiman Hamsuddin


JUMLAH pelajar dijangkiti wabak Influenza A dan H1N1 di Selangor meningkat kepada 387 pelajar berbanding 245 pelajar, ketika ini.

Pengarah Pendidikan Selangor, Dr Mahanom Mat Sam, berkata, setakat 9 pagi tadi, Klang mencatatkan jumlah tertinggal iaitu membabitkan 127 pelajar dari 42 sekolah, manakala Petaling Perdana mempunyai 97 kes dari 38 sekolah, diikuti Petaling Utama dengan 23 kes dari 10 sekolah dan Sepang dengan 53 kes dari 12 sekolah.

Beliau berkata, Kuala Selangor mencatatkan lapan kes dari enam sekolah, manakala Gombak (28 kes dari 16 sekolah), Kuala Langat (17 kes dari enam sekolah), Hulu Selangor (16 kes dari lima sekolah), Hulu Langat (10 kes dari lapan sekolah) dan Sabak Bernam (7 kes dari tiga sekolah).

"Semua pelajar yang sakit sudah menerima rawatan di klinik dan hospital serta dilaporkan stabil.

“Pelajar terbabit diberi cuti rehat dan dinasihatkan untuk dikuarantin di rumah dalam tempoh tiga hingga tujuh hari. Data berkenaan diperoleh daripada Pejabat Pendidikan Daerah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Mahanom berkata, tiada sekolah atau kelas di negeri ini ditutup susulan wabak itu.

"Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sudah menjalankan langkah pencegahan dan mitigasi di semua sekolah yang dikategorikan Influenza Like Illness (ILI).

"Sehingga kini, 15 sekolah sudah menjalani mitigasi dan penyahkuman secara menyeluruh. Proses ini akan diteruskan kepada 10 lagi sekolah yang terjejas," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan mewujudkan 'Taskforce' penyakit berjangkit yang terdiri dari Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 4:10 PM