KEADAAN motosikal mangsa yang terperosok ke dalam parit. FOTO Ihsan Pembaca.
KEADAAN motosikal mangsa yang terperosok ke dalam parit. FOTO Ihsan Pembaca.
Nor Farhani Che Ad


KAKITANGAN Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) maut selepas motosikal ditunggang terbabas ketika cuba mengelak seekor ayam melintas di Jalan Pematang Chengal, Yan, hari ini.

Dalam kejadian 8 pagi itu, mangsa, Mohamad Hanif Hazazan, 27, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan yang dialami.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari pekan Sungai Yan menghala ke Sungai Petani untuk ke tempat kerja.

“Ketika sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai terjatuh selepas cuba mengelak seekor ayam melintas menyebabkan mangsa bersama motosikalnya menggelongsor ke bahu jalan sebelah kiri.

“Pada masa sama, terdapat sebuah kereta di bahu jalan berkenaan dan berlaku rempuhan antara kedua-dua kenderaan terbabit sebelum mangsa dan motosikalnya tercampak ke dalam parit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahnaz berkata, akibat kejadian itu, mangsa maut di tempat kejadian, manakala pemandu kereta terbabit tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, mayat dibawa ke unit forensik Hospital Yan untuk bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 4:48 PM