RAJA Saiful Bahri sebak melihat jenazah anaknya. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

KEGEMBIRAAN empat budak lelaki menangkap udang di Sungai Galas, Kampung Lembaga di Gua Musang, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas, hari ini.

Raja Ahmad Arif Raja Saiful Bahri, 6, lemas di sungai itu kira-kira 5 petang, ketika menangkap udang bersama abangnya Raja Ahmad Ifan, 11, serta dua lagi rakan.

Mayat Raja Ahmad Arif ditemui anggota Bomba dan Penyelamat, 6.10 petang selepas 20 minit gerakan menyelamat dan mencari (SAR) dilakukan.

Bapa mangsa, Raja Saiful Bahri Raja Abdullah, 39, berkata, dua beradik itu bersama dua rakan mereka ke sungai itu, kira-kira 3 petang.

Katanya, ketika kejadian, dia ada urusan di bandar Gua Musang dan sebaik tiba di rumah pada 5 petang, dia cuba mencari Raja Ahmad Arif.

“Dia (Raja Ahmad Arif) selalu mandi di sungai itu. Selepas puas mencari, saya bertemu Raja Ahmad Ifan dalam kesedihan ketika pulang ke rumah.

“Saya dimaklumkan, adiknya (Raja Ahmad Arif) hilang di sungai. Saya bergegas ke lokasi, malangnya anak saya itu masih gagal ditemui,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Raja Saiful Bahri berkata, dia kerap melarang dua beradik itu ke sungai berkenaan, namun mereka mengambil kesempatan ke situ ketika dia tiada di rumah.

“Mereka (anak) tahu saya tidak ada rumah (ketika kejadian) dan mengambil kesempatan ke sungai itu.

“Saya reda dengan pemergian anak, Allah lebih menyayangi dia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Mayat mangsa di hantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 7:45 PM