KEADAAN motosikal yang ditunggang Muhd Nur Aniq selepas merempuh belakang lori rosak di lorong kecemasan di Kilometer 68 Lebuhraya PLUS arah utara.FOTO Ihsan polis
Adnan Ibrahim

SEORANG lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang lori rosak di lorong kecemasan di Kilometer 68 Lebuhraya PLUS arah utara petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira 2.25 petang itu, Muhd Nur Aniq Ruslan, 31, dalam perjalanan dari arah Johor Bahru ke Batu Pahat.

Katanya, akibat kejadian itu, mangsa terpelanting ke tengah jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

"Bagaimanapun ketika pegawai bertugas sampai di lokasi kejadian mendapati motosikal ditunggang serta mangsa sudah dialihkan oleh orang ramai ke lorong kecemasan.

"Mayat mangsa yang berasal dari Kampung Semerah Darat di Semerah, Batu Pahat dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) untuk bedah siasat," katanya melalui kenyatàan kepada media hari ini.

Mohd Abduh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 8:53 PM