Antara jam tangan mewah dirampas JKDM dalam dua serbuan di Kuching semalam. Foto Norsyazwani Nasri
Antara jam tangan mewah dirampas JKDM dalam dua serbuan di Kuching semalam. Foto Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) rampas jam tangan mewah pelbagai jenama dalam satu serbuan serentak di dua lokasi berbeza di pusat beli-belah terkemuka di Kuching semalam membabitkan nilai rampasan lebih RM16 juta.

Hasil pemeriksaan Cawangan Operasi Darat JKDM Sarawak di dua buah premis itu merampas 405 unit jam tangan mewah pelbagai jenama yang belum dibayar cukai.

Semua barangan itu kemudiannya disita untuk siasatan lanjut dengan membabitkan nilai keseluruhan cukai adalah RM820,607.67.

Pengarah JKDM Sarawak Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, serbuan itu dilakukan secara serentak bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, siasatan awal mendapati jam tangan mewah berkenaan dibawa masuk dari luar negara seperti Hong Kong melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan menggunakan pesawat domestik menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) untuk mengelak daripada pemeriksaan kastam.

“Ada juga yang dibawa masuk terus dari Singapura menuju ke LTAK dan jam tangan mewah pelbagai jenama itu disorok dalam ‘briefcase’ untuk melepasi pemeriksaan kastam kerana tidak diikrar.

“Jam tangan mewah itu dibawa masuk satu persatu oleh individu yang memakainya sebagai barangan peribadi untuk mengelirukan pegawai kastam di pintu masuk,” katanya.

Menurutnya, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967.

Sharifah Halimah berkata, pihaknya menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan atau kawalan tanpa permit import dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau mana-mana pejabat kastam yang berhampiran.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 4:46 PM