GAMBAR kereta mewah yang tular di laman sosial. FOTO Ihsan Pembaca.
GAMBAR kereta mewah yang tular di laman sosial. FOTO Ihsan Pembaca.
Nor Fazlina Abdul Rahim


“YA, memang semua (kereta Mercedes Benz) untuk EXCO, Menteri Besar dan saya sendiri,” kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar mengulas mengenai pembelian kereta mewah itu sebagai kenderaan rasmi kerajaan negeri.

Mohd Amar mengesahkan Kelantan membeli 14 Mercedes Benz dengan pembelian dilakukan sejak 2018 hingga tahun lalu secara berperingkat.

Katanya pembelian terakhir adalah untuk kegunaan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob dan beliau, namun kapasiti enjin berlainan.

Bagaimana katanya, pembelian kenderaan itu tiada kaitan dengan peruntukan khas RM400 juta yang diberikan Kerajaan Persekutuan, sebaliknya menggunakan duit kerajaan negeri.

“Saya mula pakai sejak akhir Disember 2019, manakala Menteri Besar mula pakai pada 1 Januari lalu.

“Tidak timbul isu juga memandangkan kita sudah menggunakan Mercedes Benz kerana sejak zaman Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (sebagai Menteri Besar) lagi,” katanya ditemui di Pejabat DUN Panchor di Kota Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, Kelantan membeli kereta itu memandangkan kebanyakan kereta sedia ada sudah digunakan lebih 10 tahun, selain ada EXCO yang berhenti selepas Pilihan Raya Umum (PRU) membeli kenderaan rasmi yang mereka gunakan.

“Mercedes Benz dipilih kerana mementingkan keselamatan dan berdasarkan pengalaman, penyelenggaraan Mercedes Benz lebih jimat berbanding Proton Perdana,” katanya.

Beliau mengakui tidak mengetahui harga sebuah Mercedes Benz yang dibeli kerana diuruskan Bahagian Kewangan Negeri.

“Harga tidak menjadi soal kerana kerajaan mendapat diskaun hampir 50 peratus kerana tidak dikenakan cukai. Saya tidak tahu harga sebenar namun ada diskaun,” katanya.

Semalam, gambar kereta mewah jenama Mercedes Benz dipercayai kenderaan rasmi Menteri Besar Kelantan tular di laman sosial.

Kenderaan model terbaharu itu dipercayai bernilai hampir RM700,000 difahamkan, ditempah sejak tahun lalu dan kenderaan itu mula digunakan tahun ini.

Berita berkaitan

'Ya, kereta rasmi MB'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 6:11 PM