NAJIB (kiri) dan Rosmah. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


POLIS akan memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor bagi membantu siasatan berhubung rakaman audio yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kedua-duanya akan dipanggil untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat.

Selain mereka, katanya, beberapa individu lain yang dikaitkan dengan rakaman audio berkenaan turut akan dipanggil.

“Kita akan panggil dalam masa terdekat, tetapi bukan esok. Semua saksi yang dikaitkan dengan rakaman audio itu juga akan dipanggil,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya memberi keterangan selama hampir empat jam.

Menurut kenyataan dikeluarkan SPRM, selain Latheefa, turut memberi keterangan pada polis adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki serta lima pegawai lain.

Difahamkan keterangan berkenaan bagi membantu siasatan polis berhubung sembilan rakaman audio didakwa membabitkan kes berprofil tinggi yang didedahkan SPRM dalam satu sidang media 8 Januari lalu.

SPRM mendedahkan nama 20 individu yang dirakam, sama ada terbabit dalam perbualan atau disebut dalam rakaman perbualan berkaitan skandal dana 1MDB dan SRC International.

Senarai itu termasuk beberapa pemimpin asing, diperoleh daripada sembilan set rakaman perbualan berdurasi keseluruhan 45 minit yang diperdengarkan SPRM pada satu sidang media.

Semua rakaman percakapan yang didedahkan itu berlaku antara 5 Januari hingga 29 Julai 2016, diperoleh SPRM pada awal tahun ini daripada entiti yang tidak didedahkan dan agensi antirasuah itu yakin rakaman terbabit adalah tulen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 11:56 PM