ANGGOTA bomba memadam kebakaran dua rumah di Kampung Pokok Asam. FOTO Ihsan Bomba.
Zuliaty Zulkiffli


WARGA emas terselamat selepas dua kediaman di Kampung Pokok Asam, Langgar, Alor Setar terbakar, semalam.

Anak warga emas itu, Mohd Zulkifli Ishak, 36, berkata, dia menerima panggilan telefon kira-kira 11 malam memaklumkan kebakaran itu yang memusnahkan rumah dia dan kakaknya.

Dia juga bersyukur ibunya, Che Ah Arshad, 78, sempat diselamatkan anak saudaranya, Khairul Naim Yusof, 20-an.

“Kira-kira dua jam sebelum kejadian itu, saya sempat beri emak makan ubat dan saya keluar ke rumah rakan.

“Tiba-tiba saya terima panggilan telefon memaklumkan rumah terbakar dan bergegas pulang untuk melihat kejadian.

“Mujurlah ada Khairul Naim yang menyelamatkan emak. Dia masuk ke dalam rumah yang sedang terbakar mencari neneknya.

“Jika tidak, mungkin dia (Che Ah) terperangkap di rumah sendirian. Saya bersyukur mereka selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zulkifli berkata, kebakaran disedari Khairul Naim selepas terhidu bau hangit di rumah ibunya, Mahani Ishak, 40-an itu dan melihat api mula menyambar rumah kayu itu.

Katanya, tindakan pantasnya menyelamatkan semua ahli keluarga daripada kecelakaan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 11.11 malam.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang diketuai Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Naufal Abdullah bersama tiga jentera, sebuah motosikal RIM serta sebuah lori tangki ke lokasi.

“Sebaik tiba didapati kebakaran membabitkan dua rumah kayu dengan rumah pertama musnah 95 peratus, manakala rumah kedua musnah 70 peratus ,” katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, kebakaran berjaya dikawal pada 11.58 malam dan pasukan itu turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berdekatan.

Katanya, dua motosikal juga musnah namun, tiada kemalangan jiwa mahupun kecederaan dilaporkan.

“Jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 11:23 AM