ANGGOTA bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Dungun untuk melancarkan gerakan mencari dan menyelamat empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin Dungun yang dikhuatiri lemas selepas dipukul ombak di Pantai Teluk Bidara, Seberang Pintasan. FOTO Rosli Ilham
ANGGOTA bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Dungun untuk melancarkan gerakan mencari dan menyelamat empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin Dungun yang dikhuatiri lemas selepas dipukul ombak di Pantai Teluk Bidara, Seberang Pintasan. FOTO Rosli Ilham


“SAYA percaya kesemua mangsa lemas sudah dihanyutkan keluar dari lokasi kejadian,” kata nelayan, Nordin Abdullah, 65.

Nordin berkata, dia membuat andaian itu berikutan angin timur laut yang bertiup kencang semakin bergerak ke arah timur.

“Jika angin itu bertiup ke arah selatan, kesemua mangsa akan ditolak ombak ke darat dan ditemui.

“Kerana itu, andaian saya kesemua mangsa sudah dibawa arus ke timur dan bergerak ke arah kawasan laut Paka, Kerteh dan Kemaman,” katanya ditemui di lokasi kejadian di Dungun, hari ini.

Menurut Nordin, ketika dalam perjalanan pulang daripada menangkap ikan malam tadi, keadaan arus sangat kuat manakala angin bertiup kira-kira 14 hingga 15 kilometer sejam.

“Berdasarkan pengalaman saya dengan kebanyakan kejadian lemas di sini, mangsa akan dihanyutkan ke arah timur dan pernah ada mayat mangsa dijumpai sehingga di Kuantan, Pahang.

“Kerana itu saya mohon pasukan mencari dan menyelamat memperluaskan operasi pencarian ke arah sana,” katanya.

Nordin berkata, amat berbahaya untuk mandi di pantai Teluk Bidara ketika musim tengkujuh.

“Sejak kecil saya mandi di pantai ini. Pengalaman saya, walaupun keadaan lautnya tenang namun arus di bawahnya sangat kuat.

“Arus bawah yang berpusar mampu menarik mangsa ke tengah laut,” katanya.

Menurut Nordin, bagi mengelak tragedi itu berulang, dia berharap orang ramai tidak lagi mandi di pantai ini.

“Walaupun nampak tenang, pantai ini sebenarnya berbahaya dan sudah banyak kes lemas berlaku di sini.

“Kita minta pihak berkuasa tempatan supaya dapat meletakkan papan tanda amaran lebih besar di semua pantai di daerah ini,” katanya.

Berita berkaitan

Kes lemas kedua babitkan penuntut PSMZA

'Kereta terbabas teringat anak'

'SAR empat penuntut PSMZA diteruskan'

'[UPDATE] Terpisah dipukul ombak'

'4 penuntut politeknik dikhuatiri lemas [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 3:12 PM