Empat orang yang ditahan untuk siasatan selepas disyaki menjalankan judi dalam talian di sebuah premis di Setia Alam, Shah Alam semalam. Foto Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

EMPAT individu termasuk dua wanita ditahan selepas disyaki menjalankan kegiatan judi dalam talian di sebuah premis di Setia Alam semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, mereka ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dalam Op JOL pada 5 petang.

Menurutnya, pihaknya melakukan serbuan selepas melakukan pemerhatian selama 20 minit di lokasi sebelum mengesan dan menahan dua wanita yang keluar dari premis berkenaan.

Katanya, pihaknya berjaya masuk ke dalam premis berkenaan hasil kerjasama kedua wanita itu dan mendapati dua lelaki berada di situ.

“Kesemua yang ditahan itu terdiri daripada tiga warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 29 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baharudin berkata, pihaknya turut merampas pelbagai barangan digunakan untuk kegiatan judi dalam talian serta senjata.

“Antara barangan yang dirampas adalah 16 pemprosesan komputer (CPU), dua komputer riba, 19 monitor, 31 telefon bimbit, dua modem, 14 papan kekunci dan 23 kad SIM.

“Selain itu, kami juga merampas wang tunai sebanyak RM1,000 dan lapan parang yang ditemui dalam premis berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek dari Indonesia itu didapati tidak mempunyai pasport ketika diperiksa.

“Semakan mendapati suspek warga tempatan berkenaan mempunyai rekod jenayah berkaitan judi.

“Keemua suspek itu kemudiannya dibawa ke IPD Shah Alam untuk siasatan lanjut mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan Dan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 12:13 PM