ANGGOTA polis memeriksa mat rempit serta motosikal yang ditahan dalam Ops Samseng di Plaza Tol Senawang, Seremban, hari ini. FOTO ihsan polis.
Mohd Amin Jalil


TINDAKAN sekumpulan samseng jalanan menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya mengundang padah apabila mereka ditahan polis dalam operasi Ops Samseng, awal pagi hari ini.

Dalam Ops Samseng Jalanan di Plaza Tol Senawang, Seremban, berakhir 2 pagi itu, polis menahan 153 motosikal manakala seramai 150 penunggang lelaki dan sembilan perempuan termasuk pembonceng diperiksa.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir, berkata hasil daripada pemeriksaan dijalankan, 227 saman dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan.

Beliau berkata, empat penunggang motosikal ditahan kerana kesalahan menunggang secara melulu, merbahaya dan bersaing sesama sendiri antara Plaza Tol Seremban-Labu hingga ke Plaza Tol Senawang.

“Manakala seorang penunggang ditahan atas kesalahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.

“Mereka yang ditahan berusia antara 19 hingga 21 tahun manakala lima motosikal milik mereka disita.

“Semua individu terbabit akan dipohon reman hari ini dan akan dituduh mengikut Seksyen 42(1) dan Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Ibrahim berkata, mereka yang sabit kesalahan mengikut Seksyen Seksyen 42(1) boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang dari RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000.

Beliau berkata, manakala bagi kesalahan mengikut Seksyen 108(3)(f), pesalah boleh didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Seramai 12 pegawai dan 73 anggota termasuk dari JSPT Bukit Aman dan Plus Ronda terbabit dalam operasi berkenaan.

“Operasi membanteras samseng jalanan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi mengekang kegiatan tidak bermoral itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 1:02 PM