Rosyahaida Abdullah

“SEMUA yang saya ucapkan di Renaissance (lokasi Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030) adalah perkara benar,” kata Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Lembaga Disiplin PKR atas dakwaan salah laku disiplin seperti dinyatakan Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu semalam.

Zuraida berkata, beliau sudah menerima surat tunjuk sebab terbabit yang bertarikh 15 Januari lalu dan diberikan tempoh 14 hari untuk memberikan jawapan.

“Insya-Allah saya akan jawab isu yang dibangkitkan cuma saya tidak boleh sebutkan apa isunya buat masa ini,” katanya.

Menurutnya, beliau percaya sepenuhnya kepada Lembaga Disiplin parti dalam menjalankan tugas berhubung isu yang dibangkitkan dan tidak akan dipengaruhi oleh kepimpinan parti.

“Melihat kepada situasi, saya percaya mereka (Lembaga Disiplin) akan memberikan penilaian yang seadilnya kepada saya,” katanya.

Ditanya mengenai desakan beberapa Pengerusi PKR negeri supaya beliau dipecat, Zuraida enggan mengulas lanjut.

“Itu tak apa, biar orang lain layanlah, itu semua tak ada standard saya,” katanya.

Zuraida Kamaruddin mahu berehat seketika jawatan dalam parti.

Beliau juga berkata akan melihat perkembangan semasa terlebih dulu sebelum memutuskan untuk menghadiri beberapa siri mesyuarat membabitkan parti selepas ini.

Zuraida ditemui ketika bersama Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melakukan kunjungan ke Pasar Pekan Ampang bagi mengagihkan limau kepada peniaga dan pengunjung di pasar itu sempena Tahun Baru Cina.

Semalam, Saifuddin berkata, surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh Lembaga Disiplin PKR sudah dihantar kepada Zuraida pada Jumaat lalu.

Lembaga Disiplin PKR sebelum ini dilaporkan memulakan siasatan pelbagai laporan salah laku membabitkan ahli dan pemimpin kanan parti termasuk Zuraida berkait dengan insiden ketika dan selepas Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka, Disember lalu.

Zuraida dan Mohamed Azmin antara pemimpin yang dikatakan memboikot hari terakhir kongres namun mengadakan satu majlis makan malam di Kuala Lumpur pada hari yang sama.

Ketika berucap pada majlis makan malam itu, Zuraida menegur pimpinan parti termasuk Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 1:05 PM