Rosyahaida Abdullah


NAIB Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin disaran supaya tenang dan fokus sepenuhnya kepada menjawab butiran pertuduhan dikeluarkan Lembaga Disiplin parti, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut beliau, isu pengaruh kepimpinan tertinggi parti tidak seharusnya menjadi persoalan sebaliknya langkah paling wajar diambil adalah dengan memberikan penjelasan melalui surat tunjuk sebab serta menyerahkan proses selanjutnya kepada pihak Lembaga Disiplin.

“YB (Zuraida) diberi masa untuk jawab segala pertuduhan terbabit jadi saya syorkan beliau tenang dalam menghadapi keadaan ini dan beri tumpuan sepenuhnya untuk jawab.

“Semoleknya beliau tidak perlu ada sebarang prasangka lain, gunakan masa yang ditetapkan Lembaga Disiplin untuk berikan penjelasan, itu yang terbaik.

“Kalau penjelasan dianggap munasabah, ia akan dinilai Lembaga Disiplin dan mereka akan angkat syor kepada MPP (Majlis Pimpinan Pusat) sebelum MPP muktamadkan keputusannya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ditanya jika wujud ahli lain yang akan turut diberi surat seumpamanya misalnya Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, beliau berkata beliau tiada maklumat mengenai perkara itu.

“Apa yang saya sebut dua hari lepas adalah seperti mana dilaporkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Ahmad Kasim kepada Majlis Pimpinan Pusat. Pada akhir mesyuarat, sebagai Setiausaha Agung, saya diminta untuk menyampaikan kepada media apa perkara yang dibentangkan.

SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail. FOTO Rosdan Wahid
SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail. FOTO Rosdan Wahid

“Setakat itu saja kita diberitahu kecuali satu dua kes penggantungan macam Mohd Akmal Hisyam Ahmad Tamyiz, itu yang sudah digantung sehingga kes selesai,” katanya.

Semalam, Zuraida ketika melakukan lawatan ke Pasar Pekan Ampang sempena Tahun Baru Cina 2020 dilaporkan berkata, beliau sudah menerima surat daripada Lembaga Disiplin PKR yang memintanya memberikan surat tunjuk sebab dalam tempoh 14 hari berhubung dakwaan salah laku disiplin.

Sewaktu ditanya pemberita mengenai keadilan dalam proses penghakiman berhubung isu itu, Zuraida ketika itu menyatakan keyakinan beliau terhadap Lembaga Disiplin tanpa pengaruh kepimpinan parti.

Lembaga Disiplin PKR sebelum ini dilapor memulakan siasatan pelbagai laporan salah laku membabitkan ahli dan pemimpin kanan parti termasuk Zuraida dipercayai berkait dengan insiden ketika dan selepas Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka, Disember lalu.

Zuraida dan Mohamed Azmin antara pemimpin yang dikatakan memboikot hari terakhir kongres namun mengadakan satu majlis makan malam di Kuala Lumpur pada hari yang sama.

Ketika berucap pada majlis makan malam itu dipercayai di Hotel Renaissance, Zuraida menegur kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 1:16 PM