TUAN Mohd Saiful dan Bueraheng didakwa di Mahkamah Majistret Besut. FOTO Zaid Salim.
TUAN Mohd Saiful dan Bueraheng didakwa di Mahkamah Majistret Besut. FOTO Zaid Salim.


PENGUSAHA restoran dan pekerjanya didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Besut, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan pemindahan ternakan tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu.

Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat menjatuhkan hukuman selepas Tuan Mohd Saiful Tuan Din, 32, dan Bueraheng, 33, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memindahkan 15 bebiri dan tujuh kambing menggunakan pikap bernombor pendaftaran Thailand yang ditutup bahagian belakang dengan kanvas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi jalan Tembila berhadapan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) pada 8.20 pagi, 10 September tahun lalu.

Mereka dituduh melakukan kesalahan mengikut Para (i) (b) Perintah di bawah Subseksyen 36(1) Akta Binatang 1953 (Warta Kerajaan Negeri Terengganu)

Ia boleh dihukum mengikut Subseksyen 36 (7) Akta Binatang 1953 (Pindaan 2013) (Akta A1452) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM15,000.

Prosiding dijalankan Pegawai Pendakwa JPV Terengganu, Mohd Shahihan Mohd Tahar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam penghakimannya, Raja Norshuzianna Shakila, berkata, kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman denda RM5,000 setiap seorang atau penjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda.

Kedua-dua tertuduh menjelaskan bayaran denda yang dikenakan.

Pikap serta ternakan diserahkan semula kepada tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 5:32 PM
Digital NSTP Subscribe