YEE Kew menunjukkan gambar mangsa ragut pada sidang media kes samun bersenjata di kawasan Wangsa Maju. Hadir sama, Mohd Hazazi (dua kiri). FOTO Mustaffa Kamal
Redzuan Muharam


POLIS sedang memburu suspek yang menyamun dua penuntut sebuah institusi pengajian tinggi swasta, 14 Januari lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Deputi Superintendan Mohd Hazazi Othman berkata, siasatan dijalankan susulan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Setapak dan Balai Polis Wangsa Maju pada 14 serta 15 Januari lalu.

Menurutnya, kejadian yang berlaku di hadapan sebuah hospital dan berhampiran sebuah pasar raya di Setapak itu menyebabkan seorang mangsa cedera di tangan.

“Kes itu dipercayai dilakukan suspek yang sama memandangkan kejadian berlaku dalam tempoh selang 10 minit.

“Suspek dipercayai mengambil peluang ketika mangsa berseorangan di kawasan berkenaan.

“Siasatan masih dijalankan untuk mengesan suspek menerusi operasi khas dan kes disiasat mengikut Seksyen 344 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Wangsa Maju di Setapak, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Wangsa Maju Datin Dr Tan Yee Kew.

Dalam pada itu, Mohd Hazazi berkata , kadar jenayah samun di kawasan kendalian IPD Wangsa Maju pada 2019 menunjukkan penurunan sebanyak 18 peratus berbanding 2018.

“Berlaku penurunan yang mana sebanyak 689 kes samun dilaporkan pada 2018 manakala 568 kes tahun lalu.

“Kadar jenayah kes lain juga menunjukkan penurunan secara keseluruhan dan kerjasama masyarakat menjadi penyumbang kepada pengurangan itu selain usaha polis bersama agensi lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 6:17 PM