Hazwan Faisal Mohamad


KERAJAAN komited untuk meningkatkan kadar pembayaran nirtunai di Malaysia kerana ia dilihat antara kaedah terbaik untuk mencegah kegiatan rasuah.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata, penggunaan e-pembayaran juga adalah cara penting dan selamat untuk memastikan hanya pihak yang betul menerima subsidi bersasar daripada kerajaan tanpa sebarang komisyen atau bayaran dikenakan.

Katanya, manfaat penting lain dalam penggunaan nirtunai ialah ia mampu meningkatkan kutipan cukai sekali gus berupaya menambah baik infrastruktur awam untuk kemudahan rakyat.

"Apabila Pakatan Harapan mengambilalih sebagai kerajaan, kami komited untuk memulihkan semula kepercayaan terhadap kerajaan dengan melaksanakan pembaharuan institusi bagi tadbir urus yang kompeten, bertanggungjawab dan telus.

"Dalam pelaksanaan pembaharuan itu, peralihan ke nirtunai adalah keutamaan kerajaan sebagai salah satu kaedah untuk mencegah rasuah. Semua transaksi direkodkan sekali gus tiada ruang untuk penerimaan atau penawaran rasuah dilakukan," katanya pada majlis pelancaran Ekosistem Nirtunai untuk Cyberjaya dengan QR Kebangsaan Malaysia hari ini.

MENTERI Kewangan Lim Guan Eng ketika berucap pada Majlis Pelancaran ‘Cashless Ecosystem for Cyberjaya’ with Malaysia National QR di RekaScape hari ini. FOTO BERNAMA

Turut hadir Pengerusi Cyberview Sdn Bhd yang juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir; Pengarah Urusan Cyberview, Mohd Najib Ibrahim; Pengerusi Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Datuk Ahmad Hizzad Baharuddi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Peter Schiesser.

Mengulas lanjut Guan Eng berkata, biarpun sudah banyak usaha dan inisiatif dilakukan sejak dua dekad lalu, namun hanya lima peratus bayaran pembayaran di Malaysia adalah nirtunai.

Katanya, penggunaan tunai masih menjadi pilihan rakyat Malaysia untuk pembelian barangan harian seperti bayaran parkir, majalah, surat khabar dan transit seperti teksi.

"Disebabkan itu, sekurang-kurangnya dua aspek perlu diteliti bagi meningkatkan penggunaan nirtunai iaitu antaranya kemudahan e-bayaran perlu mudah, selamat dan boleh didapati secara meluas untuk digunakan. Maksudnya ia mesti mudah untuk digunakan sebagaimana tunai.

"Kerana itu dengan mempunyai pusat penyedia infrastruktur bayaran seperti PayNet akan membolehkan proses pengadaptasian dipertingkatkan.

"Bagi merangsangkan lagi perkembangan ekonomi nirtunai, kerajaan telah melancarkan insentif e-Tunai Rakyat bernilai RM450 juta. Sehingga jam 9 malam tadi, sudah terdapat 2.9 juta permohonan untuk menyertai inisiatif ini, dengan 2.2 juta sudah diluluskan dan sejumlah RM66 juta telah disalurkan kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, Mohd Najib, berkata menerusi inisiatif yang dilancarkan itu, Cyberjaya akan menjadi bandar pertama di Malaysia untuk mengadaptasi kod QR kebangsaan di bawah Rangka Kerja Pindahan Kredit Saling Boleh Kendali (ICTF) Bank Negara Malaysia (BNM).

"Cyberview akan menerajui inisiatif ini dengan rakan kami, PayNet, untuk menggalakkan lebih banyak perniagaan beralih menggunakan penyelesaian nirtunai dan memudahkan transaksi bayaran untuk komuniti di Cyberjaya," katanya.

Dalam pada itu, ditanya apakah langkah kerajaan untuk mengatasi masalah ekonomi bayangan, Guan Eng secara ringkas menjawab yang kerajaan akan melaksanakan semua langkah penguatkuasaan yang diperlukan untuk menangani masalah berkenaan.

Saiz ekonomi bayangan atau ‘shadow economy’ di Malaysia adalah sekitar 21 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara iaitu kira-kira RM300 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 6:47 PM