MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin. FOTO NSTP
BERNAMA

PENGERANG di Johor disasarkan menjadi bandar pintar dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, satu kawasan seluas 121 hektar di selatan daerah itu sudah dikhususkan sebagai zon bandar pintar yang setiap pembangunannya perlu mematuhi garis panduan Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia yang dilancarkan kerajaan pada September tahun lalu.

Selain Pengerang yang dinaik taraf menjadi Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) pada 11 November 2019, lima bandar lain yang disenaraikan sebagai bandar perintis bagi menjayakan Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia adalah Kuala Lumpur; Kota Kinabalu, Sabah; Johor Bahru, Johor; Kuching, Sarawak dan Kulim, Kedah.

Berbanding Pengerang, Zuraida berkata, perubahan lima bandar lain ke arah menjadi bandar pintar dilaksanakan secara berperingkat kerana perlu mengambil kira keadaan infrastruktur sedia ada di bandar terbabit seperti sistem jalan raya serta lampu isyarat.

"Berbanding bandar-bandar lain, Pengerang sebagai kawasan pembangunan baharu dirangka melalui perancangan strategik ke arah menjadi bandar pintar, bermula dengan aspek penyediaan infrastruktur. Perancangan kawasan 300 ekar (121 hektar) itu dibuat secara menyeluruh," katanya selepas majlis pelepasan dua kenderaan berkuasa elektrik untuk kegunaan MPP di sini hari ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika melancarkan Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia itu dilaporkan berkata kepentingan ke arah menjadikan Malaysia sebagai bandar pintar antara perkara yang menjadi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12)

Menurut Perdana Menteri, gambaran bagi bandar pintar adalah diintegrasikan dengan teknologi mampan dalam perkhidmatan bandar, yang akan menambah baik keselamatan awam dan kualiti hidup rakyat, antaranya sambungan 5G, komuniti tanpa tunai, pengangkutan awam efisien, bangunan cekap tenaga, rawatan air dan pengurusan sampah pintar.

Mengenai kereta elektrik itu, Zuraida berkata penggunaannya adalah sebagai perintis bagi menjadikan Pengerang sebagai sebuah bandar bestari dan lestari di bawah inisiatif Pengerang Pintar, Inisiatif Hijau dan Bandar Karbon Rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 7:08 PM