Amir Abd Hamid


BEKAS Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini terhadap dua pertuduhan.

Ahli Parlimen Pontian dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO berusia 54 tahun itu memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar di dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau didakwa melakukan perbuatan berkenaan dengan tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjumlah RM2 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013 yang mana cek itu ditunaikan sendiri oleh tertuduh pada hari sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 April, 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Datuk Seri Ahmad Maslan. Foto NSTP

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa memberi penyataan palsu ketika percakapannya dirakam mengikut Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol manakala peguam Hamidi Mohd Noh mewakili Ahmad.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Ahmad diikat jamin sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Hakim turut menetapkan 21 Februari nanti untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 11:06 AM