Yusmizal Dolah Aling

PEMINJAM wang ceti haram atau along kini bukan hanya terpaksa menanggung jumlah pinjaman semata-mata tetapi mereka juga berdepan dengan kos simbah cat menjangkau RM5,000 yang dikenakan ‘lintah darat’ itu.

Along juga dikesan menggunakan talian telekomunikasi yang berpusat di Singapura untuk berhubung dengan peminjam bagi mengelak diburu pihak berkuasa.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima beberapa aduan berhubung perkara itu baru-baru ini dan mendapati, tindakan along kini lebih agresif dan ganas termasuk melemparkan molotov cocktail ke rumah mangsa.

“Mereka ini seakan-akan mencabar pihak berkuasa kerana selain mengugut mangsa membayar sejumlah amaun yang tinggi walaupun sudah pinjaman dibayar balik, along juga menetapkan caj kepada peminjam selepas melempar cat ke rumah mangsa.

“Tindakan ‘kurang ajar’ dari along itu tidak terhenti di situ apabila mereka turut merakam tindakan mereka menyimbah cat dan kemudiannya tularkan di media sosial,” katanya.

Dalam kes terbaru, seorang mangsa Fauziah Abdul Majid, 51, terpakksa melalui pengalaman pahit apabila dipaksa oleh along untuk membayar sabanyak RM15,000 selepas membatalkan pinjaman RM100,000 yang dibuatnya pada awal bulan ini.

Fauziah berkata, dia menghubungi along berkenaan selepas terbaca iklan di Facebook tetapi berubah fikiran dan membatalkan hasratnya itu tidak lama kemudian.

“Saya sempat berhubung dengan along berkenaan dan menyatakan hasrat mahu meminjam RM100,000 untuk urusan perniagaan.

“Selepas mendapat nasihat beberapa pihak berbincang, saya kemudiannya maklumkan kepada along berkenaan bahawa saya tidak jadi meminjam.

“Tetapi along berkenaan menghantar kiriman WhatsApp menunjukkan resit RM690 yang sudah dimasukkan ke dalam akaun saya.

“Saya terkejut kerana tidak pernah memberikannya apa-apa butiran perbankan.

“Bila saya pulangkan semula duit itu, saya dimaklumkan perlu membayar kadar faedah berjumlah RM1,500. Jika gagal, ia bertambah RM3,000, RM6,000 dan seterusnya,” katanya.

Menurutnya, along berkenaan memintanya melunaskan sebanyak RM15,000 termasuk kos menyimbah cat di rumahnya di Ampang menyebabkan dia kini tertekan dan buntu memikirkan masalah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 2:13 PM
Nadzim (tengah) ketika di sidang media di Kuala Lumpur hari ini. Foto Amiruddin Shahib
Nadzim (tengah) ketika di sidang media di Kuala Lumpur hari ini. Foto Amiruddin Shahib