Rosyahaida Abdullah

“TENTUNYA hadiah ini sangat bermakna untuk saya kerana ia bakal menjadi pengalaman pertama saya menjejakkan kaki ke luar negara,” kata Nur Emylia Shahira Yaakob, 22.

Nur Emylia Shahira terpilih sebagai seorang daripada tujuh pemenang bertuah bagi kempen JomPAY Cuti-Cuti With Bil To The Seven Wonders Of The World anjuran JomPAY, tahun lalu.

Memenangi pakej percutian ke Mexico khusus bagi mengunjungi tinggalan sejarah Chichen Itza di Mayan City, Nur Emylia tidak menyangka rutinnya membayar bil air dan elektrik setiap bulan bakal menerbangkannya ke negara terbabit.

PETER Schiesser menyampaikan hadiah kepada Nur Emylia Shahira. FOTO Khairul Azhar Ahmad

“Setiap bulan, saya memang akan gunakan platform JomPAY yang sudah ditetapkan dalam perbankan atas talian untuk urusan pembayaran beberapa bil termasuk air dan elektrik.

“Apabila saya terima panggilan daripada pihak JomPAY, saya memang menyangka ia suatu penipuan pada awalnya memandangkan saya tidak pernah menyertai apa-apa pertandingan berkaitan JomPAY.

“Rupa-rupanya mereka memilih secara rawak dan pastinya ia membuatkan saya lebih terharu kerana saya yang terpilih daripada entah berapa ramai pengguna JomPAY,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah itu di Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini.

Seorang lagi pemenang bertuah, Heng Huey Yi, 43, berkata, dia juga menggunakan platform JomPAY untuk membayar bil air dan elektrik kediamannya berjumlah kurang RM30 sebulan.

Disebabkan itu, kata pegawai pemasaran ini, dia hampir tidak percaya dengan panggilan yang diterima daripada pihak JomPAY, November lalu namun mulai yakin selepas melakukan sedikit carian di internet serta menerima emel rasmi daripada syarikat berkenaan tidak lama kemudian.

“Saya memenangi percutian ke Itali khusus bagi melawat ke Colosseum dan merancang mengajak adik perempuan saya memandangkan hadiah itu meliputi pakej untuk dua orang,” katanya.

PETER Schiesser (empat dari kiri) bersama tujuh pemenang bertuah kempen JomPAY Cuti-Cuti With Bil To The Seven Wonders Of The World. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan JomPAY Peter Schiesser berkata, pertandingan terbabit berlangsung selama empat bulan berakhir Oktober tahun lalu.

Katanya, pemenang dipilih secara rawak berdasarkan penggunaan JomPAY bagi pembayaran bil mereka melalui mana-mana 41 bank yang mengambil bahagian.

“Sejumlah RM1.1 juta dibelanjakan bagi kempen kali ini yang mana tujuh pemenang dipilih untuk menerima hadiah pakej percutian untuk dua orang ke tujuh lokasi keajaiban dunia.

“Ini sebahagian tanda terima kasih kami kepada pengguna yang mempercayai JomPAY dalam melakukan pembayaran bil mereka di mana ketika ini jumlah rakan bil kami sudah melebih 6,400,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 3:20 PM