BOMBA memadam kebakaran rumah di Kampung Paya Ara, Beruas, semalam. FOTO Ihsan Bomba.
Noor Hidayah Tanzizi


TINDAKAN pantas remaja mendukung datuk saudaranya yang terlantar kerana sakit tua selepas menyedari rumah terbakar menyelamatkan mereka sebelum kediaman itu musnah dalam kejadian di Kampung Paya Ara, Beruas di Manjung, semalam.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, Mohd Borhanuddin Khali Nafizar, 17, berlari keluar sambil mendukung datuk saudaranya, Din Ramli, 78, sejauh 10 meter ke tepi jalan untuk menyelamat diri.

Datuk remaja terbabit yang juga pemilik rumah, Sabri Din, 66, berkata, ketika kejadian, dia bersama anak perempuan membawa isterinya ke Hospital Seri Manjung (HSM) kerana mengalami demam, muntah dan cirit-birit.

“Abang ipar yang terlantar terpaksa ditinggalkan berseorangan di rumah dan kami minta jiran tengokkan dia sementara cucu pulang dari sekolah.

“Kami pulang selepas semua urusan selesai dan dalam perjalanan pulang ke rumah, kawan anak telefon memberitahu rumah kami terbakar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

MOHD Borhanuddin Khali Nafizar, 17, mendukung datuk saudaranya, Din Ramli, 78, yang terlantar kerana sakit tua. FOTO Ihsan Keluarga.

Menurutnya, mereka bernasib baik kerana cucunya sudah pulang dari sekolah dan menyedari bunyi letupan sebelum melihat api menyambar di bahagian hadapan rumah.

“Tanpa berlengah cucu segera mendukung dan membawa datuk saudaranya keluar dari rumah. Mereka juga terjatuh ketika menyelamatkan diri, namun abang ipar saya hanya calar di siku saja terkena batu di tepi jalan.

“Selepas itu, cucu mahu masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil kad pengenalannya tetapi dilarang jiran selepas melihat kayu rumah sudah mula jatuh,” katanya.

Katanya, dia sedih melihat rumah dan semua peralatan termasuk kelengkapan sekolah serta buku pelajaran cucunya musnah dalam kebakaran itu namun bersyukur mereka semua selamat.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis, Alwi Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 3.48 petang sebelum sepasukan anggota bersama jentera bergegas ke lokasi.

Katanya, operasi turut membabitkan ketua BBP Pantai Remis, Shah Al-Hafiz Redzuan dan bantuan BBP Ayer Tawar.

“Rumah berkenaan musnah terbakar 90 peratus dan bomba mengambil masa 10 minit untuk memadam api sebelum operasi tamat pada 5.27 petang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 9:12 AM