RAKAMAN CCTV menunjukkan suspek sedang mencuba rantai emas. FOTO Ihsan Pembaca.
Hazira Ahmad Zaidi


WANITA berbaju blaus ungu gelap, tudung bercorak bunga dan seluar berwarna kelabu diburu selepas dipercayai mencuri seutas rantai tangan di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu, semalam.

Kejadian jam 2.30 petang itu menyebabkan kerugian hampir RM10,000.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner

Abdul Rahim Daud berkata, ketika kejadian, hanya pemilik dan pelanggan wanita berusia 20-an berada di dalam kedai.

Katanya, suspek dipercayai ke kedai emas itu kononnya untuk menjual rantai tangan miliknya dan menukarkan kepada yang baharu.

“Selepas beberapa kali mencuba, suspek menyerahkannya kembali kepada pemilik kedai.

“Bagaimanapun, ketika pemilik sedang leka dan pada masa sama almari pameran tidak berkunci, suspek mengambil seutas rantai emas dianggarkan seberat 42.78 gram (g),” katanya.

Abdul Rahim berkata, sebaik wanita itu beredar, mangsa menyedari seutas rantai tangan hilang dan mengesyaki pelanggan berkenaan mengambilnya.

“Mangsa cuba memanggil wanita itu, namun dia terus melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada hari yang sama untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam rumah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi pihak polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Bharu atau mana-mana balai berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 3:18 PM