AMIRUDDIN (dua kiri) pada Sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-38 di padang Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Kelana Jaya. FOTO BERNAMA
Redzuan Muharam

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mencatatkan kutipan cukai RM42.35 bilion pada tahun lalu dan RM27.56 bilion daripada jumlah itu diperoleh melalui hasil Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata jumlah kutipan SST direkodkan melepasi sasaran awal ditetapkan iaitu RM22 bilion.

Menurut Amiruddin, kementeriannya menaruh keyakinan bahawa jumlah kutipan SST meningkat pada tahun ini dengan pengenaan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan digital yang sudah dilaksanakan bermula 1 Januari lalu.

“Kita optimis bahawa peniaga mempunyai kesedaran dan tanggungjawab membayar dan diharap kutipan SST meningkat pada 2020 dengan pelaksanaan cukai digital.

“Di samping mengawal selia urusan dagangan, kutipan cukai dilakukan supaya hasil itu dapat digunakan semula untuk kesejahteraan rakyat.

“Selain itu, JKDM pastikan kegiatan penyeludupan di perbatasan sempadan dan perairan Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak dapat dibanteras terutamanya membabitkan rokok dan minuman keras,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-38 di padang Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Kelana Jaya, hari ini.

Sambutan Hari Kastam Sedunia pada tahun ini mengangkat tema Kastam Memacu Kelestarian bagi Kemakmuran, Rakyat dan Sejagat.

Hadir sama , Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Paddy Abdul Halim.

Amiruddin berkata, penguatkuasaan dijalankan pula merekodkan 5,663 kes sepanjang tahun lalu membabitkan pelbagai komoditi dengan catatan nilai dan cukai berjumlah lebih RM1.9 bilion.

Manakala, sebanyak 68 kes direkodkan termasuk membabitkan penyeludupan rokok setakat dua minggu pertama pada bulan ini membabitkan nilai dan cukai berjumlah lebih RM49.72 juta.

“Sasaran tidak pernah menurun dan akan meningkat malah bila ada sistem yang memudahkan, mereka (pedagang) gembira dan mengeksport lebih banyak barang seterusnya memberi kerajaan lebih kutipan,” katanya.

Berhubung cukai perkhidmatan digital, Amiruddin berkata, sebanyak 160 syarikat penyedia perkhidmatan luar negara sudah mendaftar dalam talian yang dibuka Oktober lalu.

“ Bila mereka mendaftar maknanya mereka ada keinginan untuk membayar.

Sudah tentu ada yang belum mendaftar terutama yang baru menawarkan perkhidmatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 3:59 PM