MOHD Khairiel (kiri) menyerahkan sumbangan kepada pemandu kenderaan sempena program Tahun Baru Cina, hari ini. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap.
Abnor Hamizam Abd Manap


ORANG ramai dinasihatkan lebih berhati-hati apabila melalui tiga kawasan dikenal pasti sebagai laluan maut di daerah Jempol.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, laluan itu adalah Kilometer 7 hingga 9 Jalan Bahau-Kemayan, Kilometer 0.5 hingga 6 Jalan Bahau-Rompin dan Jalan FELDA Palong Satu hingga Lapan.

Beliau berkata, dijangkakan berlaku peningkatan jumlah kenderaan yang melalui jalan berkenaan sempena cuti Tahun Baru Cina ini.

“Laluan itu menghala ke negeri jiran iaitu Pahang dan Johor yang sudah pasti berlaku kesesakan di luar jangka.

“Kami berharap pengguna jalan raya dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pemanduan manakala polis akan membuat pemantauan secara berkala di laluan terbabit,” katanya selepas pemberian bungkusan makanan sempena Kempen Kesedaran Dan Keselamatan Jalan Raya Op Selamat 16 Tahun Baru Cina di Kilometer 1 Jalan Bahau-Juasseh di Jempol, hari ini.

Sebanyak 300 bungkus makanan dan risalah langkah pencegahan jenayah pecah rumah dan nombor telefon balai polis di Jempol dan Pusat Kawalan PDRM seluruh negara diserahkan Mohd Khairiel.

Mohd Khairiel yang baru dilantik sebagai Ketua Polis Daerah pada Isnin lalu berkata, dia akan terus memberi fokus pengurangan kadar jenayah indeks dan menangani masalah dadah di daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 4:18 PM