Siti Rohana Idris

PENEMUAN empat terowong perlombongan emas dipercayai dibina pada 1931 oleh pelombong dari Perancis di Kampung Kalai, Jeli, sedia dibuka kepada umum.

Dua terowong yang dibina berjarak 15 meter (m), 85m dan paling panjang adalah 94m ditemui pada 1990 oleh penduduk kampung namun ketika itu masih belum diteroka dan dibuat kajian.

Ketua Jajahan Jeli, Nik Raisnan Daud, berkata, terowong yang dibina sebelum Perang Dunia Kedua itu adalah untuk melombong mineral emas oleh pendatang dari Perancis dan beroperasi selama kira-kira 15 tahun.

“Selepas itu ia mungkin digunakan tentera komunis dan dijadikan laluan keluar masuk memandangkan lokasinya yang hanya kira-kira 200 m sahaja bersempadan dengan Thailand.

“Setakat ini hanya empat terowong yang ditemui tapi kami percaya mungkin ada lagi yang dibina memandangkan geografi di kawasan ini yang berbukit serta dilitupi hutan,” katanya kepada pemberita di Jeli, semalam.

Nik Raisnan berkata, terowong itu dibuka kepada orang ramai untuk menyaksikan sendiri khazanah dengan syarat diiringi penduduk kampung sebagai jurupandu bagi menyaksikan sendiri senibina yang mengagumkan kerana binaanya yang rapi dan masih utuh sehingga kini meskipun tanpa sebarang peralatan canggih.

Katanya lagi, penemuan terowong itu adalah khazanah untuk rakyat Jeli khasnya dan pihaknya akan cuba memelihara untuk dijadikan tarikan kepada produk pelancongan.

PENEMUAN empat terowong dipercayai dibina sebelum Perang Dunia Kedua sedia dibuka kepada umum. FOTO Zaman Huri Isa
PENEMUAN empat terowong dipercayai dibina sebelum Perang Dunia Kedua sedia dibuka kepada umum. FOTO Zaman Huri Isa

“Kita akan menambahbaik kemudahan mungkin dari segi laluan untuk ke sini dan saya meminta agar pihak berkuasa dan rakyat amnya dapat menjaga kawasan ini dari diceroboh,” katanya yang turut mengambil peluang masuk sendiri ke semua terowong terbabit.

Keadaan dalam terowong bekas tapak lombong emas itu sangat gelap dan mempunyai aliran air di dalamnya.

Orang ramai dinasihatkan agar memakai but dan membawa lampu suluh supaya dapat melihat lebih jelas keadaan di dalamnya termasuk struktur binaan yang tidak menggunakan sebarang sokongan tapi sangat rapi hasilnya.

Empat terowong itu terletak tidak jauh antara satu sama lain.

Sementara itu, Penghulu Mukim Kalai, Shah Fakrimee Sallah berkata, terowong itu sememangnya sudah hampir 30 tahun ditemui tapi ketika itu tiada sebarang maklumat diperoleh.

“Terdapat dua penduduk asal Kampung Kalai yang sempat ditanyakan berhubung terowong ini dan seorang daripada mereka memberitahu ia pernah dijadikan laluan menghantar emas atau makanan dari sini ke Thailand.

“Bagaimanapun semua itu hanya kemungkinan dan kami akan menjejaki lagi mana-mana sumber yang boleh merungkai maklumat tepat mengenai terowong ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 11:34 AM
Digital NSTP Subscribe