Gambar Hiasan. FOTO AFP
Gambar Hiasan. FOTO AFP
Raja Noraina Raja Rahim


BUDAK lelaki berusia lima tahun antara empat pesakit yang disahkan negatif daripada jangkitan wabak koronavirus atau dikenali sebagai 2019 n-CoV.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kanak-kanak warga Jordan itu menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

“Dia sebelum itu bercuti bersama ibu bapanya di Sabah. Ibu bapanya adalah penuntut Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Hua Zhong, Wuhan, China.

“Keputusan ujian pengesanan dan pengesahan virus 2019 n-CoV terhadap kanak-kanak itu adalah negatif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, kes kedua dan ketiga membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dan wanita tempatan berusia 24 tahun yang mempunyai sejarah melawat China.

“Kedua-duanya menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB) dan keputusan ujian virus 2019 n-CoV juga negatif,” katanya.

Beliau berkata, kes keempat pula membabitkan remaja lelaki warga China berusia 16 tahun yang bercuti bersama keluarga di Sabah.

Katanya, pesakit terbabit masih menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan dilaporkan stabil.

“Ujian pengesanan dan pengesahan virus 2019 n-CoV yang dilakukan sudah mengesahkan remaja itu negatif,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 2:57 PM