KETUA Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam. FOTO NSTP
Mohd Amin Jalil


POLIS meminta bantuan orang ramai mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes pecah stor simpanan barang sebuah syarikat dan mencuri lori bersama muatan.

Lelaki terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan kes samun milik syarikat Ban Chong (Lian Bee) Sdn Bhd, beralamat di Jalan Dato' Undang Rembau, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam, berkata kejadian itu berlaku pada 21 Januari lalu sekitar jam 4.20 pagi.

"Polis menerima satu laporan daripada pengadu yang juga pemilik sebuah stor simpanan barang milik syarikat Ban Chong (Lian Bee) Sdn Bhd bertempat di Jalan Dato' Undang Rembau.

"Kejadian berlaku pada jam 4.20 pagi, 21 Januari lalu apabila suspek disyaki membabitkan tiga lelaki memotong rantai besi pintu masuk gudang berkenaan menggunakan pemotong besi.

"Suspek kemudian mengambil 300 pek serbuk Milo bersaiz dua kilogram setiap satu dan 720 tin susu pekat jenama Tea Pot pilihan 500 gram dan 2,880 kotak air minuman jenama F&N Season 250 milimeter pelbagai perisa.

"Suspek juga melarikan diri bersama sebuah lori milik syarikat jenis Nissan berwarna putih dengan nombor pendaftaran NBQ 4841," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Anuar Bakri berkata, nilai kerugian dianggarkan berjumlah RM42,400.

Menurut beliau lagi, hasil daripada maklumat dan siasatan awal, pihaknya menjumpai semula lori yang dicuri suspek.

Katanya, kenderaan itu dijumpai pada jam 10.30 pagi 22 Januari lalu, disorok di sebuah ladang Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) di Tanah Datar Kota, Rembau.

"Bagaimanapun ketika ditemui, lori berkenaan dalam keadaan tanpa muatan," katanya.

Sehubungan itu, beliau mohon kerjasama orang ramai untuk memberi maklumat kepada pihak polis Rembau dengan menghubungi ditalian 06-6851999.

"Maklumat juga boleh disalurkan kepada Asisten Superintendan Md Nurazam Md Ghazali ditalian 013-8005225 atau Inspektor Muhammad Danial Abd Rohim, 013-2226085, bagi membantu kes ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 4:02 PM