TRAFIK melalui Gua Musang menuju ke Kuala terkawal dan tidak sesak. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

PERJALANAN di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dan Kuala Lipis lebih teratur dan kurang berlaku kesesakan, pagi tadi.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin ketika dihubungi mengingatkan pengguna supaya lebih berwaspada ketika melalui lokasi bahaya yang kerap berlaku kemalangan sama ada di Jalan Gua Musang-Kuala Krai atau Kuala Lipis.

“Kita juga mengarahkan anggota polis supaya kerap membuat rondaan di kedua jalan itu dan mengambil tindakan menyaman mana-mana kenderaan yang melanggar peraturan,” katanya.

Sementara itu, pengguna Jalan Gua Musang-Kuala Krai dan Kuala Lipis menyifatkan perjalanan selesa dan kurang berlaku kesesakan menjelang Tahun Baharu Cina esok.

Seorang pengguna jalan itu, Mohd Ghani Abdullah, 43, berkata, dia bertolak dari Kuala Lumpur pada 3 pagi dan tiba pada 9 pagi ini di Gua Musang.

Katanya, dia pernah mengambil masa 12 jam untuk sampai ke bandar ini sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Bharu.

Dia berkata, perjalanan selesa dan cepat dari Kuala Lipis ke Gua Musang dibantu dengan pembinaan jalan baharu empat lorong tanpa ada sebarang gangguan.

“Alhamdulillah, perjalanan kami pulang ke kampung cuti menyambut Tahun Baru Cina esok tidaklah berdepan kesesakan teruk walaupun mengambil masa sedikit untuk sampai ke destinasi,” katanya ketika ditemui di Gua Musang, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 4:08 PM