PENGUATKUASA KPDNHEP Cawangan Kajang membuat pemeriksaan harga ketika tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan di Pasar Kajang. FOTO AIZUDDIN SAAD
Sri Ayu Kartika Amri


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah menentukan harga maksimum bagi 16 barangan di bawah pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2020 berbanding 13 sebelum ini.

Pertambahan tiga barangan itu membabitkan cili merah, tomato dan ubi kentang import (China).

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah Pejabat KPDNHEP Cawangan Kajang Muhamad Sani Mohammad Nor berkata, pelaksanaan SHMMP ini sebagai langkah menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang Tahun Baru Cina (TBC) 2020 yang disambut esok.

Katanya, tempoh pelaksanaan bagi SHMMP ini adalah selama 14 hari dan berkuatkuasa lima hari sebelum perayaan, sehari semasa hari perayaan dan lapan hari selepas perayaan.

“Kesemua barangan ini mendapat permintaan tinggi oleh masyarakat, disebabkan itu kawalan harga perlu dibuat ke atas 16 barangan ini bagi menstabilkan harga dan bekalannya di pasaran.

“KPDNHEP Kajang sudah memeriksa 1,757 premis sejak 1 hingga 23 Januari 2020, manakala bilangan premis yang telah diperiksa sempena SHMMP TBC yang bermula 20 Januari 2020 sehingga kini adalah 157 premis.

“Untuk makluman, tiada tindakan kes diambil untuk SHMMP kali ini dan hari ini, kami sudah melakukan pemeriksaan dengan 16 pegawai terbabit dan didapati kira-kira 300 peniaga mematuhi maksimum harga yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, peniaga digalakkan menjual barangan harga terkawal lebih rendah daripada harga maksimum yang ditetapkan sekiranya harga belian diperoleh rendah,” katanya kepada media selepas sesi ‘Walkabout’ SHMMP di Pasar Awam Kajang di sini.

Muhamad Sani berkata, peniaga juga diingatkan, tindakan akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini.

Menurutnya, jika pengguna mendapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang, mereka boleh menyalurkan aduan menerusi emel ([email protected]) atau hubungi talian 1800886800 atau 019-2794317 (WhatsApp).

Berikut adalah 16 barangan tersenarai:

1. Ayam hidup

2. Ayam standard

3. Ayam super

4. Telur ayam gred A

5. Telur ayam gred B

6. Telur ayam gred C

7. Kubis bulat import

8. Cili merah

9. Tomato

10. Ubi kentang import (China)

11. Bawang putih

12. Ikan bawal putih

13. Udang putih besar

14. Babi hidup

15. Daging babi (perut)

16. Daging babi (daging dan lemak)

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 5:17 PM