MOHAMAD Sabu bertemu rakan sejawat, H Prabowo Subianto di Indonesia hari ini. FOTO IHSAN ATM
Muhaamad Hafis Nawawi


MALAYSIA dan Indonesia menyatakan komitmen untuk mengukuhkan kerjasama pertahanan sedia ada terutama membabitkan pembangunan industri pertahanan.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan, berkata kerjasama itu disuarakan dalam lawatan balas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu kepada Menteri Pertahanan Indonesia, H Prabowo Subianto di Indonesia, hari ini.

Menurutnya, mereka membincangkan hal berkaitan hubungan dua hala dalam usaha mengukuhkan aspek keselamatan selain mengeratkan hubungan diplomatik.

“Kedua-dua menteri mengadakan perbincangan yang luas dan terbuka sekali gus mencerminkan kekuatan hubungan serta perkongsian kepentingan antara dua negara.

“Mereka turut mengulangi komitmen bersama bagi mengukuhkan kerjasama pertahanan sedia ada berdasarkan kepentingan bersama, terutama membabitkan pembangunan industri pertahanan,” katanya.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak juga menyentuh isu penculikan membabitkan lima nelayan Indonesia di perairan Tambisan, Sabah pada 16 Januari lalu.

“Mereka turut menaruh keyakinan terhadap Perjanjian Pelaksanaan Trilateral (TCA) antara Indonesia, Malaysia dan Filipina dalam usaha menangani ancaman keselamatan maritim.

“Mohamad memberi penekanan terhadap kesungguhan dan komitmen Malaysia khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menjaga keamanan kawasan itu,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Mohamad turut menjemput Prabowo menghadiri Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2020 serta Pameran Perkhidmatan Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) yang dijadualkan pada 20 April hingga 23 April depan di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 10:04 PM