KEADAAN kebakaran di tapak pelupusan sampah Semeling pada petang tadi. FOTO ihsan pembaca
Nor Farhani Che Ad


LELAKI yang disyaki menyebabkan kebakaran tapak pelupusan sampah di Semeling, Sungai Petani pada 20 Januari lalu ditahan hari ini ketika sedang melakukan pembakaran di kawasan sama.

Suspek berusia 35 tahun itu dikatakan melakukan perbuatan itu bagi mendapatkan tembaga wayar yang dibuang di situ.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kehadiran suspek disedari pasukan bomba ketika sedang menjalankan operasi pemadaman kebakaran yang masih berlaku sehingga hari ini.

“Pihak bomba memaklumkan perkara itu kepada pengurusan tapak pelupusan sampah sebelum suspek ditahan dan diserahkan kepada polis.

“Lelaki terbabit ditahan bersama beberapa kilogram tembaga yang diperolehi hasil daripada pembakaran yang dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzli berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan perbuatan sama pada 20 Januari lalu sehingga menyebabkan kebakaran merebak.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif morfin.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati kawasan terbabit tidak berpagar dan tiada kamera litar tertutup (CCTV), tetapi mempunyai papan tanda amaran bagi aktiviti pencerobohan.

“Suspek direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan 29A Akta Alam Sekeliling,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 10:56 PM