KOK Yew (dua kiri) membuat lawatan ke lokasi kebakaran di tapak pelupusan sampah di Semeling. FOTO Ihsan pembaca
KOK Yew (dua kiri) membuat lawatan ke lokasi kebakaran di tapak pelupusan sampah di Semeling. FOTO Ihsan pembaca
Nor Farhani Che Ad

PENDUDUK di sekitar Semeling, di Sungai Petani diminta tidak panik berikutan asap tebal daripada kebakaran di tapak pelupusan sampah berhampiran, Isnin lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Kedah, Tan Kok Yew berkata, kebakaran di tapak pelupusan sampah itu kini terkawal.

“Tapak pertama kebakaran membabitkan Zon A yang berlaku pada Isnin lalu sudah dapat dikawal sepenuhnya.

“Semalam, bomba mengesan berlaku kebakaran baharu membabitkan Zon D yang disebabkan aktiviti pembakaran dengan sengaja oleh pihak luar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun katanya, kebakaran baharu itu berjaya dikawal malam tadi hasil usaha keras pihak bomba yang sentiasa bersedia sejak hari pertama kebakaran itu.

Tan berkata, semua agensi berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) sentiasa bersedia di lokasi kejadian bagi memantau keadaan semasa.

“Saya sempat ke tapak pelupusan sampah itu semalam bersama beberapa pemimpin tempatan dan saya dapati memang ada asap tebal disebabkan faktor angin.

“Namun, penduduk tidak perlu panik kerana bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kawasan sekitar masih dalam keadaan sederhana, bukan berbahaya,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 1.2 hektar daripada lebih empat hektar keluasan tapak pelupusan sampah Semeling terbakar.

Ia disyaki akibat perbuatan khianat selepas seorang lelaki berusia 35 tahun ditahan di lokasi kejadian semalam.

Ketika itu, dia dikatakan membakar sampah bagi mendapatkan wayar tembaga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 11:23 AM
Kabinet Malaysia 2020