ORANG ramai memakai penutup muka sebagai langkah keselamatan wabak coronavirus di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI). FOTO Mohd Azren Jamaludin
ORANG ramai memakai penutup muka sebagai langkah keselamatan wabak coronavirus di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI). FOTO Mohd Azren Jamaludin
BERNAMA

PENGGIAT industri pelancongan di Johor sudah diberi taklimat berhubung wabak koronavirus, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Johor Liow Cai Tung.

Beliau berkata taklimat dikendalikan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) itu antaranya memberikan panduan kepada penggiat industri pelancongan dalam mengendalikan pelancong khususnya dari China.

“Pada masa sama, saya menasihati orang ramai dan pemandu pelancong supaya berjaga-jaga dalam menghadapi situasi ini seperti memakai penutup mulut dan hidung,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina di Tokong Fo Guang Shan Hsing Ma, di Johor Bahru, hari ini.

Liow dalam pada itu, menegaskan adalah terlalu awal untuk mengatakan wabak itu akan menjejaskan Tahun Melawat Malaysia 2020 dan Tahun Melawat Johor 2020.

“Sama ada turun atau tidak (kehadiran pelancong), saya anggap, kita kena lihat berapa lama virus ini berlarutan, namun, dari pihak kerajaan negeri, kita sentiasa memantau perkembangan supaya kita dimaklumkan status terkini,” katanya dengan menambah 12 pintu masuk negeri ini sudah diletakkan mesin pengimbas suhu badan bagi memantau kemasukan pelancong.

Hari ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, tiga warga China yang memasuki Malaysia melalui Johor dari Singapura pada Khamis, disahkan positif koronavirus.

Mereka adalah ahli keluarga rapat kepada seorang lelaki berusia 66 tahun dan anak lelakinya yang berasal dari Wuhan, China, yang direkodkan sebagai dua kes pertama positif virus itu di Singapura.

Dr Dzulkefly berkata, ketiga-tiga mereka adalah seorang wanita berusia 65 tahun, iaitu isteri kepada pesakit berusia 66 tahun di Singapura, dan dua cucu lelakinya berusia dua dan 11 tahun.

Mereka kini ditempatkan di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 3:19 PM