YEE Hua menunjukkan kemahiran bermain taishogoto setiap kali menyambut Tahun Baru Cina. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


RAMAI yang minat mendengar, namun tidak ramai pula yang mahir bermain instrumen muzik tradisional taishogoto yang berasal dari Jepun.

Bagi warga emas, Lee Yee Hua, 73, yang tinggal di Kampung Baru, Gua Musang, kemahiran bermain alat muzik itu sudah sebati dalam hidupnya ketika mula mengasah bakat di usia 20 tahun.

Menggunakan taishogoto, Yee Hua memainkan muzik dikenali sebagai Da Zhang Qing dan bukan calang-calang orang dapat memainkannya.

Dia mengakui tidak ramai yang tahu bermain taishogoto dan dia kerap bermain seorang diri setiap kali malam persiapan menyambut Tahun Baru Cina.

“Enam anak saya berumur 20 hingga 46 tahun juga tidak pandai bermain muzik ini walaupun kerap memberi pendedahan cara bermainnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Menurutnya, alat muzik tradisional itu dihadiahkan rakan yang tinggal di Jepun sejak 53 tahun lalu dan dia belajar bermain daripada rakannya itu ketika berada di negara ini.

Katanya, pada mulanya agak rumit bermain taishogoto kerana terpaksa menggunakan jari kiri namun sekarang dia sudah biasa dengan perkara itu.

“Hasil daripada kemahiran ini, saya menyertai beberapa kali pertandingan di seluruh negara dan memenangi sebahagiannya tapi ketika itu, saya berumur 20-an. Selepas itu, saya simpan alat muzik ini sampai sekarang,” katanya.

Dia berkata, alat muzik itu selalunya dimainkan sempena meraikan sambutan Tahun Baru Cina untuk menambahkan kemeriahan kepada anak dan cucu.

“Taishogoto boleh dimainkan secara tunggal tanpa iringan muzik lain. Ramai juga jiran minat mendengarnya setiap kali menyambut Tahun Baru Cina,” katanya.

Katanya, bunyi alat muzik itu juga dikatakan menyerupai alat muzik tradisional dari China, bernama Guzheng.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 5:50 PM