ANTARA barangan tanpa permit yang dirampas. FOTO ihsan MAQIS
ANTARA barangan tanpa permit yang dirampas. FOTO ihsan MAQIS
Syaherah Mustafa

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan merampas pelbagai barangan tiada permit di sekitar pengkalan haram di Rantau Panjang, kelmarin.

Pengarahnya, Mohd Azam Yahya, berkata kesemua barangan terbabit dirampas pada hari yang sama hasil Operasi Pengkalan yang dilaksanakan oleh Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) sebelum diserahkan kepada MAQIS.

Katanya, kesemua barangan rampasan itu dibawa masuk dari Thailand dengan keseluruhan nilai rampasan termasuk tiga kenderaan yang disita bernilai RM70,0000.

“Antara produk yang dirampas ialah mangga dan keropok keping yang masing-masing seberat 800 kilogram (kg) bernilai RM4,000 dan RM3,000.

“Manakala, turut dirampas 243 kg ayam sejuk beku bernilai RM4,000. Kesemua barangan ini dirampas kerana tidak mempunyai permit import yang sah oleh MAQIS ketika kemasukan selain tidak mempunyai sijil kesihatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara asal.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana membawa masuk keluaran pertanian tanpa permit import yang sah daripada Jabatan MAQIS,” katanya.

Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 11(3) Akta yang sama.

Mohd Azam berkata, hasil siasatan kesemua keluaran pertanian itu dipercayai untuk dijual dan diedarkan kepada peniaga tempatan di Kelantan.

“Pihak MAQIS tidak akan berkompromi serta sentiasa memantau serta mempertingkat kawalan ke atas setiap kemasukan keluaran pertanian supaya aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian dan penternakan negara ini dapat dibendung.

“Melalui kerjasama erat pihak MAQIS bersama agensi penguatkuasaan sempadan yang lain, saya yakin aktiviti membawa masuk tanpa sebarang dokumen sah yang berlaku di sempadan ini akan dapat dikawal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 10:28 AM