Anggota JBPM melakukan pencarian di Sungai Perak. FOTO Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


OPERASI mencari mayat bayi perempuan yang dibuang di Sungai Perak berhampiran rumah pam Lembaga Air Perak (LAP), Teluk Kepayang, Bota, diteruskan hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Barudin Wariso berkata, sehingga kini pasukan bomba tidak dapat menyelam di sungai berkenaan berikutan air deras kerana lokasinya berhampiran dengan rumah pam.

Menurutnya, susulan itu, pihaknya sudah membuat permohonan penutupan pam kepada pihak LAP Perak.

“Bomba akan menggunakan kaedah pencarian di permukaan. Kami juga membuat permohonan penutupan pam selama 45 minit bagi membolehkan pasukan bomba melakukan penyelaman di kawasan berkenaan.

“Jadi, kami masih menunggu kelulusan daripada Pengarah LAP Perak untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pasangan kekasih berkenaan direman empat hari bermula hari ini hingga Rabu untuk siasatan lanjut.

Portal Harian Metro semalam melaporkan, polis menahan pasangan kekasih berusia 22 tahun yang dipercayai membuang mayat bayi perempuan dalam Sungai Perak berhampiran rumah pam LAP di Teluk Kepayang, Bota.

Hasil siasatan polis mendapati, suspek wanita yang hamil tujuh bulan melahirkan bayi perempuan dalam keadaan bernyawa di bilik tidurnya pada 3 pagi, Selasa lalu, namun kemudian bayi itu meninggal dunia sebelum menyimpan mayatnya dalam almari selama tiga hari.

Wanita berkenaan menyerahkan mayat bayi terbabit kepada teman lelakinya yang kemudian dibuang ke Sungai Perak dengan cara menenggelamkan mayat dengan empat batu bata pada 2 pagi, semalam.

Berita berkaitan

Buang mayat bayi ke sungai

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 12:34 PM