ZULKIFLI MOHAMMAD
Nazri Abu Bakar


AGENSI kerajaan disaran melakukan solat hajat bagi memohon doa keselamatan negara daripada ancaman sebarang wabak penyakit berbahaya .

Timbalan Presiden II, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Zulkifli Mohammad berkata, wabak koronavirus kian membimbangkan selepas pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengesahkan virus berkenaan dijangkiti tiga individu dari Wuhan, China.

Katanya, pengesahan individu yang memasuki negara ini menerusi Singapura itu juga memberi amaran jelas semua harus berwaspada dengan wabak terbabit.

Menurutnya, dalam masa sama solat hajat antara usaha umat Islam untuk bersama-sama berdoa mengelak wabak daripada terus berleluasa.

“Justeru CUEPACS juga menyarankan solat hajat dilakukan di agensi awam di lakukan di negara ini.

“Malah pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri untuk masyrarakat mengadakan solat hajat juga turut disokong sebagai langkah mencegah penyakit yang mengancam nyawa terbabit,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Gabungan Kesatuan Universiti Awam Malaysia (GAKUM) berkata, tindakan agresif pemantauan terhadap pintu masuk negara juga harus terus dipergiat bagi mencegah penyebaran wabak berkenaan.

Zulkifli berkata, kesedaran yang tinggi dalam kalangan warga negara juga amat penting untuk bersama-sama memastikan wabak terbabitdapat dicegah daripada berjangkit kepada diri keluarga dan semua individu.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 1:05 PM