Antara bundle yang menjadi tumpuan orang ramai di Jalan Hang Tuah. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


“ALHAMDULILLAH, jualan lebih 80 peniaga pakaian terpakai mendapat sambutan daripada orang ramai,” kata peniaga bundle di Vintage Night Market setiap hujung minggu di Jalan Hang Tuah, Melaka.

Peniaga, Asnawi Amran, 32, dari Pontian, Johor berkata, dia lega dengan sambutan positif itu walaupun terpaksa bermalam di Bandaraya Melaka untuk memastikannya dapat menyertai jualan berkenaan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Katanya, kebanyakan mereka berminat membeli berikutan barangan terpakai terutama baju, seluar , kasut dan beg yang dijual itu berkualiti, asli selain berjenama.

Menurutnya, kebijaksanaan orang ramai membeli pakaian bundle dipuji berikutan harga murah umpama 'pisang goreng panas' berbanding membeli yang baharu dengan harga mahal.

“Malah penganjur pusat berkenaan menekankan kualiti barangan asli sementara barangan tiruan tidak dibenarkan dijual.

“Langkah terbabit memastikan semua yang dijual adalah terbaik dalam menarik perhatian pelanggan membeli-belah bermula 6 petang sehingga 2 pagi,” katanya.

Katanya, kos sara diri hidup tinggi, komitmen keluarga selain minat terhadap bundle antara faktor peniaga bundle di situ menjadi tumpuan umum.

Dia yang berniaga sepenuh masa selepas berhenti kerja di Singapura berkata, sokongan orang ramai terhadap konsep jualan terbuka di situ amat menyeronokkan sehingga harga mampu dibeli serendah RM10 sahaja.

“Jika dengan nilai itu boleh membeli pakaian baik dan boleh bertahan bertahun-tahun, sudah pasti ia amat berbaloi untuk dibeli.

“Apapun, ada kemeja-t dijual dengan harga RM1,000 berikutan stok sukar diperolehi selain asli terutama yang pernah digunakan pemuzik terkenal antarabangsa.

“Namun, ia tetap dibeli berikutan minat mendalam terhadap kumpulan terbabit selain ia amat sukar diperoleh,” katanya.

Zainah Adam, 28, berkata, dia bersama ibunya, Zainab Bujang, 53, serta dibantu dua adik gembira bundle yang dijual mendapat permintaan baik daripada orang ramai.

Katanya, dia dia menjual dengan harga murah termasuk tiga helai baju RM20 sehingga menjadi pilihan remaja dan warga emas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 3:38 PM